Jalan-jalan menuju keredhaan Tuhan meliuk lentok di celah-celah simpang siur karenah insan
.

Friday, June 30, 2017

A Reflection


Image result for arabic motivational quotes





Aku dan kamu bukan bidadari,
Bukan malaikat yang tak pernah alpa,
Tapi manusia yang penuh dengan potensi dosa.

Tapi ingatlah,
Semua potensi telah Allah beri
Maka tugas kita menyelaraskan potensi
Dengan semua ketentuan dan ketetapannya.

Mengeluh,menangis dan tersungkurlah!
Di hadapannya.
Kerana segala kesulitanmu,
Hanya pantas dilihat olehnya.

Beban dan ujian,
Hanya Allah kuncinya,
Berbagi dan ceritakanlah semua kepadaNya.

Semoga Allah selalu menjaga kita,
Dalam lingkar keimanan.
Seluas apapun ujian,
Seberat apapun cubaan,
Tetaplah iman yang engkau simpan.




Humanity



Image result for arabic motivational quotes




Mengikhlaskan itu lebih menenangkan
Tak perlu bergelut dengan dendam atau cacian.

Merelakan setiap perkara yang dirasa itu lebih menyenangkan,
Tak perlu sesak menerpa atau gundah gulana merana.

Terjatuh,tergores dan terluka itu sakit,
Tetapi ketika senyummu yang engkau beri,
Maka biarkan hati yang menjalankan fungsi.

Mengeluarkan keimanan di dalam hati,
Menggambarkanmu sebagai seorang yang mengawal emosi.

Sebab sabar tak terbatas,
Air mata akan terus ada.
Ujian akan terus dirasa,
Maka damaikan semua dengan iman dan senyuman.

Hidup dan pandanglah dengan kuasaNya
Itu lebih mengasyikkan.


Friday, June 19, 2015

Nota Ramadhan Buat Pemuda

Titipan Buat Pemuda Sempena Ramadhan

Titipan buat pemuda sempena ramadhan

                                                  
                                        Bismillahirrahmanirrahiim.
           Ramadhan kini menjadi temasya dalam banyak laman sosial. Laman sosial menyediakan tips-tips memproduktifkan Ramadhan, amalan yang boleh dikerjakan buat wanita yang uzur syari’e malah ada juga laman web yang menyediakan diet sesuai yang diamalkan ketika Ramadhan. Saya sendiri pernah muat turun satu pdf ‘Highly Effective Ramadhan’ dari satu laman web pada Ramadhan lepas.
Saya yakin kita semua amat seronok apabila disediakan kemudahan seperti ini. Arus kemajuan dan kemodenan berjaya kita gunakan dengan baik khusus untuk mempertingkat nilai Ramadhan. Artikel kali ini saya tujukan khusus buat para pemuda sempena Ramadhan kali ini kerana kita adalah agen pengubah ummah. Maka, sudah tentu setiap Ramadhan antara titik penting dalam kehidupan!


1. BUANG CARA HIDUP HAMBA RAMADHAN

Mungkin masih ada dalam kalangan kita bergantung harap pada Ramadhan untuk menjadi hamba mukmin mukminah yang lebih bertaqwa selepas keluarnya dari madrasahnya. Kita menjadi hamba yang taat kepada Ramadhan selama 30 hari. Kemudian ketika tibanya Hari Raya Aidilfitri, kita seolah hilang arah dalam mencari ketaqwaan kepada Tuhan yang sebenar.
    Kita meraba-raba mencari jalan lalu kita kembali menjadi diri yang lama. Sungguh, cara hidup hamba Ramadhan ini tidak elok. Ya benar, Ramadhan boleh menjadi asbab untuk iman kita meningkat namun begitu iman yang meningkat ini perlu dijaga dengan amalan zahir dan batin. Beruntunglah bagi mereka yang berjaya meletakkan nilai rabbani pada Tuhan yang sebenarnya ketika Ramadhan kerana itulah hikmah Ramadhan yang sebenar!
     Dari segi bahasa, Ibnul Anbari menjelaskan bahawa, kata ‘rabbani’ diambil dari kata dasar Rabb, yang artinya Sang Pencipta dan Pengatur makhluk, iaitu Allah. Kemudian diberi imbuhan huruf alif dan nun (rabb+alif+nun= Rabbanii), untuk memberikan makna hiperbola.
      Dengan imbuhan ini, makna bahasa ‘rabbani’ adalah orang yang memiliki sifat yang sangat sesuai dengan apa yang Allah harapkan. Kata ‘rabbani’ merupakan kata tunggal, untuk menyebut sifat satu orang. Sedangkan bentuk jamaknya adalah rabbaniyun.
Bulan Ramadhan adalah bulan latihan, maka jadilah pelatih yang mantap. Seandainya bulan Ramadhan ini adalah sebuah pertandingan, maka jadilah orang yang menjuarainya. Jangan  sekali menuhankan Ramadhan kerana ia sendiri tidak meminta hal itu dari hamba-hamba Allah.


2. RAMADHAN SEBAGAI SATU MUNTALAQ

Wahai pemuda, maka bermusafirlah!
Ibarat biji benih yang disemai elok, seperti itu jugalah Ramadhan menjadi titik tolak bermulanya seorang mukmin dalam melakukan perubahan.  Perubahan yang tidak mempunyai titik mula adalah perubahan yang bersifat sementara. Antara sebabnya adalah:
A) Persediaan yang tidak cukup sebelum berubah.
B) Suasana menjadi faktor terbesar pengubah sedangkan faktor utama adalah diri sendiri.
C) Hanya memikirkan kesan jangka pendek sebuah perubahan.
D) Merasakan hanya sedikit sahaja perkara yang perlu diubah.
“We first make our habits, and then our habits make us.” – John Dryden

           Konsep di atas elok untuk memberi anda lebih kefahaman dalam menggunakan Ramadhan sebagai titik tolak momentum perubahan. Di sini, saya sertakan sekali 8 tips mudah untuk menjayakan bagi anda yang mahu berubah:


1. Mempunyai kepercayaan yang teguh
Percaya pada diri sendiri adalah ‘core’ kepada pengakhiran yang baik dalam sebuah perubahan. Jika kita tidak yakin bahawa kita akan berjaya melakukannya, maka hanya sia-sialah jika kita menanamkan banyak impian tetapi kita kerap kali berputus asa.

2. Kepercayaan anda harus dikawal dengan baik
.
Jangan sampai over-confident kerana sifat ini amat merbahaya bagi mereka yang mahu berubah. Malah, sifat inilah yang kerap kali menjadikan kita bertangguh dalam melakukan perubahan.

3. Merancang strategi.


Bayangkan apa yang anda ingin capai. Jadikan ianya seolah filem tentang kehidupan diri anda sendiri pada masa hadapan.
Contohnya: “Saya akan membaca surah-surah lazim juzuk 30 ketika menjadi imam kepada rakan-rakan solat berjemaah di rumah.
.
4. Memilih langkah-langkah.

Pilih beberapa langkah yang anda boleh lakukan untuk mencapai sebuah perubahan sampai setiap langkah tersebut menjadi habit anda dalam kehidupan seharian. Contohnya untuk mencapai target hafalan quran yang lebih baik:

-buat jadual yang sesuai dengan kemampuan diri sendiri (sehari lima ayat hafalan baru)
-gantikan lagu-lagu di dalam mp3 dengan surah yang ingin dihafal.
-membaca atau mendengar tafsir berkaitan surah tersebut untuk lebih faham dalam hafalan

5. Spesifik.

Spesifik dari segi masa setiap satu dari target perubahan yang ingin dilakukan. Contohnya:
“Setiap Isnin, Rabu dan Sabtu saya akan bersedeqah sekurang-kurangnya kepada tiga orang pengemis.”

6. Memberi komitmen kepada perubahan yang ingin dilakukan dan raikan diri sendiri setiap perubahan yang berjaya dilakukan.

7. Meng’alarm’kan diri sendiri jika terlupa buat perubahan
‘Alarm’ bertujuan untuk mendidik disiplin dan mentazkirah diri sendiri atas setiap keterlupaan dalam melakukan perubahan.

8. Tulis jurnal/diari Ramadhan
Rekodkan setiap hari dalam Ramadhan dalam diari khusus untuk muhasabah kehidupan selepas Ramadhan sehingga tiba Ramadhan yang seterusnya.

3. RAMADHAN PENGAWAL GELORA
Wajarnya bagi setiap para dua’t khususnya pemuda semakin matang dalam mendepani gejala kerosakan dan keruntuhan akhlak di sekeliling kita. Darah muda yang mengalir penuh dengan tuntutan nafsu perlulah dilembutkan dengan berpuasa pada bulan Ramadhan. Malah, Rasulullah SAW sendiri mewajibkan para pemuda agar berpuasa untuk menahan diri mereka dari gejala yang bermula dari mata turun ke hati ini.
Hargailah Ramadhan sebagai satu rukhsah dan benteng untuk kamu wahai para pemuda di kala pemuda-pemudi lain sibuk memenuhi tuntutan nafsu mereka dengan cara haram. Itulah tanda putus asanya mereka pada Ramadhan dan mereka lebih mengutamakan nafsu sendiri.
Tetaplah pada keyakinan kamu bahawa mendirikan rumahtangga Muslim adalah antara cara pengislahan masyarakat yang berkesan untuk menyelesaikan masalah ini. 30 hari berpuasa ini gunanya bukan sekadar untuk menahan nafsu, malah mengawalnya agar tidak berada pada paras merbahaya.
Malah, teruskan dengan berpuasa sunat selepas Ramadhan agar kamu bersedia menghadapi kerosakan yang mungkin lebih dahsyat pada masa akan datang!
cara melawan nafsu syahwat
[Kredit]
4. RAMADHAN ADALAH BEKAL AKHIRAT
Ramadhan adalah satu bentuk bekal bonus akhirat. Setiap amalan yang dikerjakan diberikan amalan berlipat kali ganda. Rancanglah agar Ramadhan mempunyai kesan jangka panjang ke atas keseluruhan kehidupan apatah lagi buat kamu para dua’t!
Atas jalan yang panjang, kita perlu mempunyai persiapan emosi dan jiwa yang kuat serta bekal bekal yang mencukupi. Ramadhan adalah bekal kesabaran terhadap ketaatan kepada Allah, meninggalkan maksiat dan menerima takdirNya.

bersabarlah orang beriman
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)
Ramadhan adalah bekal kejujuran menepati janji dengan Tuhan sebagaimana diabadikan dalam Firman Allah berkenaan kisah Anas bin Nadhr R.A
“Di antara orang-orang mu’min itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya),” (33:23)
Dan pastikan bekal amalan ketika Ramadhan ini tidak terhenti sekadar pada Ramadhan sahaja. Teruskan menjaga amal sampai ke akhirat nanti.

Saturday, June 13, 2015

10 Sebab Kenapa Doa Kita Tidak Dikabulkan

 
 

Seseorang bertanya kepada Ibrahim bin Adham:

“Apa masalah kita, kita berdoa tetapi tidak diperkenankan doa kita?”


Ibrahim menjawab:

“Kerana hati kamu mati dengan 10 sebab:


1. Kamu mengenali Allah tetapi kamu tidak mentaatiNya

2. Kamu mengenali Rasulullah s.a.w. tetapi kamu tidak mengikuti sunnahnya

3. Kamu mengenali al-Quran tetapi kamu tidak beramal dengannya

4. Kamu makan ni’mat-ni’mat Allah tetapi kamu tidak menunaikan kesyukuran terhadapnya

5. Kamu mengetahui tentang syurga tetapi kamu tidak mengejarnya

6. Kamu mengetahui tentang neraka tetapi kamu tidak lari darinya

7. Kamu mengetahui tentang syaitan tetapi kamu tidak memeranginya

8. Kamu mengetahui tentang mati tetapi kamu tidak membuat persiapan untuknya

9. Kamu kuburkan orang-orang mati tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya

10. Kamu terjaga dari tidur, lalu kamu menyibukkan diri dengan keaiban manusia dan kamu tinggalkan keaiban diri kamu sendiri.
 

 
 
'Aku adalah (mengikut) sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, dan Aku bersamanya ketika dia mengingati-ku. Sekiranya dia mengingati-Ku dalam dirinya,Aku mengingatinya dalam diri-Ku.Dan,sekiranya dia mengingatiku dalam sebuah majlis,Aku telah mengingatinya dalam majlis yang lebih baik lagi daripada majlis mereka.Sekiranya dia datang kepada-Ku sejengkal ,Aku  mendekatinya sedepa. Sekiranya dia mendekati-Ku sedepa, Aku mendekatinya sejengkal. Sekiranya mereka mendekati aku dalam keadaan berjalan, aku pasti mendekati mereka dalam keadaan berlari (pantas)'
(hadith ini direkodkan oleh Muslim)

Namanya Wanita



Engkau wanita syurga bidadari dunia
Kehormatan kau jaga dengan penuh cinta
Engkau wanita syurga
bak permata berharga
berbinar indah dalam kesucian jiwa

”Bila CINTAMU kenal ILAHI, jadilah CINTAMU BERSTATUS TINGGI.”- Ustazah Fatimah Syarha.



”Apa-apa yang membawa ke SYURGA, itulah CINTA.”- Hilal Asyraf.


Bila manusia terlalu asyik dibuai dengan keindahan cinta dunia, cinta manusia, hukum DIA dicampak entah ke mana-mana. 
Bila ‘cinta’ yang selama ini dipertahankan bertahun-tahun lamanya, terputus di tengah jalan, mulalah hati rasa kecewa, merana, putus asa. Kadangkala, tidur tak lena. Makan tak rasa apa-apa. Segalanya hambar, kosong, tidak terdaya. Ibaratnya, hidup sudah tiada makna.
KAMU. Iya, kamu. Kamu yang sedang patah hati kerana ‘cinta manusia’.
Aku mahu tanya. Adakah ini ‘cinta’ yang kita agung-agungkan?
Cinta yang membuat kita futur dari Tuhan?
Cinta yang membuat kita berputus asa dari AL-RAHMAN?
TIDAK SAMA SEKALI. Ini bukan cinta. Ini malapetaka.
KAMU. Iya, kamu.
Kamu yang sedang MENZALIMI HATI YANG ALLAH AMANAHKAN UNTUKMU.
Sedarkah bahawa kita sedang menzalimi hati kita dengan cinta manusia?
Aku mengerti. Aku mengerti akan tuntutan fitrah yang satu itu.
Aku juga manusia. Manusia biasa yang punya hati dan perasaan, sama seperti kalian.
Aku bukan robot, yang hatinya tidak pernah wujud.
Kita sama-sama punya ‘rasa cinta’,tapi cara kita MENGURUSKAN CINTA itu berbeda.
Aku tidak kata, aku arif menguruskan fitrah cinta. TIDAK.
Tapi, InsyaAllah. Mari, aku khabarkan apa yang aku tahu tentang CINTA.
Buat sahabatku yang sedang patah hati dan kecewa kerana cinta manusia.
Subhanallah, MashaAllah. Sedarkah kalian sebenarnya Allah mencintai kalian?
Iya. Mungkin kau fikir Allah itu kejam kerna DIA ambil orang yang kau sayang.
Tapi, ayuhlah. Buka mata hatimu, lihat hikmah yang terbentang luas di hadapanmu.
Sedarkah bahawa Allah ingin mengisi hatimu dengan cinta yang tiada belah bahagi pada-NYA?
Subhanallah. MashaAllah. Tabarakallah.

Aku tahu. Perit rasanya ‘cinta’ yang selama ini kau pertahankan, akhirnya putus di tengah jalan.
Setiap apa yang kalian janjikan, kini hanya tinggal angan-angan.
Bertabahlah. Allah itu tidak pernah kejam.
Malah, DIA sebenarnya ingin nyatakan DIA SAYANG AKU, MEREKA DAN KALIAN.
Kamu tahu? Seharusnya yang bertakhta di hati manusia itu cuma DIA dan Rasul-NYA.

Kalau benar dia cintakan kamu, dia tidak akan sesekali mengajakmu
MENDEKATI JALAN NERAKA.
Iya. MENDEKATI JALAN NERAKA.
Sahabat. CINTA itu tidak salah. Tapi, cinta yang bagaimana?
CINTA itu untuk siapa? Milik siapa? Untuk apa? Bagaimana? Kapan tiba?
- CINTA itu milik DIA. Untuk DIA. Untuk dapatkan redha-NYA bukan murka-NYA.
Dengan mengikuti segala apa yang telah ditetapkan-NYA.
Bila-bila masa dan di mana saja kita berada.
Seperti yang aku katakan tadi. Cinta itu tidak salah. Kau mahu bercinta? Silakan. Tiada yang menghalang kalian. Tapi, cinta yang bagaimana? Cinta yang berpaksikan Allah semata. Cinta yang mengharapkan redha-NYA. Cinta yang makin mendekatkan kamu pada-NYA. Yang membuat kamu semakin bersemangat untuk bercinta dan mengenal DIA dan Rasul-NYA. Cinta yang membuat kamu menjadi manusia yang hebat di mata Allah dan seluruh penduduk langit khususnya. Lalu bagaimana untuk mendapatkan cinta sebegitu? Dengan mengisi nama-NYA semata-mata. Kamu tahu? Ada bedanya
‘KERANA ALLAH, AKU MENCINTAIMU’
dengan
‘KERANAMU AKU MENCINTAI ALLAH.’
Apa bedanya? Bedanya pada siapa yang kau aulakan cintanya.
CINTA ALLAH, atau cinta manusia?
MAAF. Aku memang tidak arif bersastera, berbicara soal cinta. Tapi, aku mahu kalian dan aku sendiri membuka mata hati yang selama ini sengaja buta menilai cinta-NYA dan Rasul-NYA. Aku tidak kata menyimpan nama orang lain dalam hatimu itu satu dosa. TIDAK. Allahu’alam. Aku tidak tahu. Sungguh, yang namanya DOSA dan PAHALA itu hanya ALLAH yang berhak menilainya.Tapi, nasihatku untukmu juga untukku, simpan saja ‘dia’ dalam DOA kita, bukan dalam hati kita. Kerana apa? Kerana hati itu bolak-balik sifatnya. Kalau DOA itu, InsyaAllah, sampai kepada-NYA.
Kamu tahu? Bercinta dalam diam itu sungguh indah rasanya.
Kerana apa? Kerana cinta itu tidak disandarkan pada manusia.
Hanya disandarkan pada Allah semata. Bagaimana?
Katanya cendekiawan,
”kalau mahu lihat apa manusia itu penting dalam hidupnya berbanding yang lainnya,
lihatlah berapa kerap dia menyebut namanya dan menyimpan namanya
dalam doa dan sujudmu pada-NYA.”
Benar sekali katanya, tiada dusta!
Kata Nabi, orang yang ‘jatuh cinta’, cenderung untuk selalu mengingati
dan menyebut orang yang dicintainya (man ahabba syai’an katsura dzikruhu).
Kata Nabi, manusia juga bisa ‘diperbudak’ kerana cintanya (man ahabba syai’an fa huwa ‘abduhu).
Persoalannya; APA PANTAS MANUSIA ITU LEBIH DIINGATI BERBANDING PENCIPTA?
Persoalannya; APA PANTAS MANUSIA ITU LEBIH DISEBUT BERBANDING ASMA’-NYA?
Cinta yang mana yang kita sedang dustakan? Cinta yang mana yang kita sudah agungkan?
Tanya; CINTAKAH KITA PADA TUHAN?
Tanya; CINTAKAH KITA KEPADA NABI MUHAMMAD SAW?
Jadi, cinta yang mana harus kita utamakan? Apa pernah kita berdoa khusus meminta cinta Tuhan?
Apa pernah kita berdoa khusus agar kita lebih mencintai Muhammad
solla llahu ‘alaihi wasallam berbanding manusia yang lainnya?
Apa pernah kita berdoa khusus untuk ibu dan ayah kita?
Atau kita hanya berdoa khusus agar DIA menjaga ‘dia’ sebaik-baik jagaan-NYA?
Cinta yang mana yang kita dambakan? Cinta yang sementara atau cinta berpaksi DIA semata?
Cinta yang mana yang kita utamakan? Cinta kepada si ‘dia’ atau cinta kepada-NYA?
Ayuh, muhasabah diri.
Selama ini, kita tidak ‘bercinta.’
Tapi, kita hanya berpura-pura.
Yang namanya ‘cinta’ itu sangat suci.
Usahlah kita nodai dengan racun-racun yang membuat kita jauh dan futur dari RABBI.
KAMU. Iya, kamu.
Tidak apa jika tiada manusia di hati.
Asal ada RABBI.
Aku mahu cintamu berstatus tinggi.
Aku mahu cintamu kenal ILAHI.
Kerana pada hakikatnya, cinta itu punya sebabnya sendiri.
‘Cinta akan lenyap bersama lenyapnya sebab.’
ALLAH itu tidak akan pernah lenyap.
Jadi, niatkan kerana-NYA.
Aku mahu kau mencintai-NYA dan Rasul-NYA lebih daripada segala-galanya.
Aku mahu kau ke syurga, bukan neraka.
Aku mahu kau usaha untuk mujahadah seperti mana aku sedang cuba.
Aku mahu kita sama-sama jadi yang terbaik pada pandangan-NYA.
Aku mahu kita cari DIA. Hanya DIA semata.
Yuk! ISTIGHFAR.
Yuk! BERCINTA DENGAN-NYA!
Yuk! BERCINTA DENGAN RASUL-NYA!
Yuk! BERCINTA DENGAN ILMU-NYA!
Yuk! SALING MENCINTAI KERANA-NYA HINGGA KE SYURGA!
p/s: Tuhan; ALLAH telah membentangkan jalan penuh hikmah; nikah.
Kenapa perlu memilih jalan mudarat, jalan penuh maksiat?
Kalau masih tidak mampu untuk menikah, maka mujahadahlah.
InsyaAllah, ada ganjaran di sisi-NYA.
Hidup ini bukanlah untuk diisi dengan kecintaan terhadap manusia semata.
Fitrah, usah nafi. Tapi jangan makan diri.
Doa tanpa henti. Biar fitrah direstui Ilahi.
Semoga saudaraku yang berada di Gaza, Syria, Mesir dan lainnya baik-baik saja.
Semoga ‘cintaku’ sampai kepada mereka.
Malunya aku pada adik-adikku di sana yang masih kecil.
Tiada masa untuk fikir soal cinta manusia.
Yang mereka tahu adalah;
HIDUP DAN MATIKU HANYA KERANA-NYA.
Kau dengan cinta ‘dia’.
Aku dengan cinta DIA.
Cinta kita berbeda.
Maka, siapa lebih bahagia?

Tuesday, June 9, 2015

Hanya Gerhana Bukan Terbenamnya Matahari



        Apabila gerhana, burung-burung tidak pulang ke sarangnya kerana mereka tahu bahawa hari masih terlalu awal dan malam masih belum tiba manakala segala kegelapan yang sedang menyeliputi itu hanyalah sementara dan seketika, sampai saatnya mentari kan megah menyinarkan cahayanya dan menerangi segala kekelaman yang membuahkan keraguan dan keputus asaan itu. 

         Begitu juga Da'ie yang merindukan saat pertemuan dengan Robbnya; dalam apa saja kegelapan dan tekanan ia tidak akan pernah berputus asa dan harap bahkan ia sentiasa mencari ruang peluang untuk mengekspresskan keimanannya kepada PEMILIK diri, alam dan kehidupan. Ia lalu cuba mempelajari sunnatullah mengenai liku-liku perjalanan mencari Mardhatillah sehingga jiwanya menjadi lapang dan pasrah berdepan dengan apa saja ujian. 

        Cintanya pada PEMILIK syurga menjadikan segala kesulitan kembali terungkai, yang berat menjadi ringan, perjalanan yang jauh terasa dekat bahkan segala keresahan dan keraguan terungkai menjadi bunga-bunga yang harum mewangi. 

        Hatinya terasa begitu dekat dengan perjuangan Rasul tercinta hingga terasa seperti segala luka-luka dan keperitan Baginda alami mengenai tubuhnya sendiri hingga terasa hati mereka seumpama bertemu dan membuahkan Cinta dan Rindu. Semakin perit perjalanannya semakin penuh hatinya dengan kecintaan dan kerinduan bahkan cinta dan rindu itu mengusir segala kedukaan dan keresahan. 

        Cinta itu menjadikan hatinya kembali bercahaya, lalu dengan cahaya itu ia menoleh semula melihat kehidupannya dan ternyata segalanya terlalu berbeza. Cahaya cinta itu telah menyingkapi segala kegelapan lalu ia kini sedar bahawa segala bayangan yang menakutkan dan mengecewakannya sebelum itu adalah taman-taman yang begitu indah. Bayangan lembaga hitam yang menggerunkan jiwanya ialah pohonan hijau yang menenangkan jiwa, jeriji-jeriji disekelilingnya adalah pagar-pagar yang indah dan menenangkan.

Liku Perjalanan



Sememangnya perjalanan dakwah itu ada naik turunnya. Ada masa-masa kita mendaki yang menuntut kekuatan jiwa, ketabahan, kepasrahan dan keyakinan yang teguh kepada apa yang Allah janjikan serta keyakinan kepada ancaman-ancamannya. jiwa kita akan semakin lemah jika kita masih memberi pilihan pada jiwa kita untuk memilih antara kebenaran dan kebathilan.

 Ada juga masa-masa kita menurun; langkahnya ringan dan menyenangkan. Kadang-kadang jiwa kita terikat untuk rehat dan terus rehat. Bunga-bunga ukhuwah dan kebersamaan menyerbakkan harumannya. Kita merasakan dakwah dan kehidupan itu bersatu dan benar-benar membahagiakan kita.
 
             Inilah warna warni kehidupan menuju Allah SWT. Kita tidak akan menemui jalan yang menurun selama-lamanya, tidak juga mendaki sepanjang kehidupan. Kitapun tidak berhak membuat pilihan ketika mana kita ingin mendaki dan ketika mana kita ingin menuruni lembah-lembahnya. Kalau pilihan itu berada ditangan kita, tentunya syurga itupun milik kita secara pasti dan kitapun tidak kesunyian dalam langkah-langkah kita. 

           Tentunya ramai yang akan menyertai rombongan dakwah ini. Tentunya banyak senyuman yang dapat kita lihat dan tidak banyak lelehan airmata yang menyirami perjalanan kita.
 
       Biarkan Allah yang tentukan jalanNya. Kita hanya mengikuti apa yang dipilihkanNya  untuk kita. Ya, kadang-kadang kita lemah dan langkah kita terasa berat. Mengadulah padaNya dengan penuh harapan. Titiskan airmata kita untuk menangis kelemahan dan ketelanjuran kita. Bukankah kita beriman dengan Kasih Sayang dan PengampunanNya. Renungilah KalamNya, carilah kalimah-kalimah yang dapat melembutkan hati kita. Biarkan kalimah-kalimah iman itu menyentuh hati kita. Buka semula lembaran-lembaran sirah, mungkin kisah sedih kita ini tersimpan di dalamnya. Tentunya ada ujian yang lebih berat dan menekan dari apa yang kita tempuhi. Tentunya bukan kita sahaja yang menangis dan kecewa.

            Memang luka pada jiwa kita kadang-kadang begitu mendalam dan menyakitkan tetapi anggaplah ianya sebagai bukti cinta kita padaNya. Apa lagi yang mampu kita bayar untuk nikmatNya yang tidak terhitung. Kalimah apa lagi yang dapat kita ungkapkan untuk tunjukkan kesyukuran kita.

            Ingatlah, Insan akan berjaya mencapai kemuliaan dan redhaNya bukan kerana memiliki keperkasaan dan kekayaan atau pangkat dan kedudukan tetapi memiliki hati yang lembut dan penuh keimanan. Asalkan hati kita sentiasa hidup dan penuh keimanan maka kita akan berjaya meraih redhaNya. Tentunya apa yang Allah timpakan kepada kita mengambil kira kemampuan kita, cuma kita perlu berusaha untuk mencari penawarnya.

               Akhir sekali, Kesungguhan, keteguhan, kekuatan jiwa dan sebagai adalah natijah atau product iman. Kalau produk kita semakin kurang kemungkinan bahan mentah kita yang sebenarnya
kurang. Kalau bahan mentahnya mencukupi mungkin prosesnya terhenti atau agak perlahan. 

            Telitilah semua itu dari setiap sudut dengan penuh kerendahan dan harapan. Mintalah petunjuknya dan tanggalkan keputus asaan dan kecewa dari jiwa kita kerana semua itu tidak pernah sedikitpun membantu kita. sedarlah, bahawa kita sebenarnya tidak ada pilihan dan mungkin PILIHAN itulah punca penyakitnya.

p/s:Perkongsian daripada seorang murabbi. :)