Air di singki
ditutup.
Aku mengelap
pinggan mangkuk yang dicuci abang tadi.
“Bang, adik dah
siap.”
Abang aku
tersenyum.
“Bagus. Kita
kemas rumah pula. Jom! Lepas kemas rumah, abang nak beritahu satu projek
rahsia!”
Aku teruja nak
tahu. Bersungguh-sungguh aku kemas rumah hari tu. Bersemangat.
Itulah abang aku.
Darjah 6. Aku baru darjah 4. Kehidupan kami seharian dalam kitaran yang sama.
Balik sekolah, tolong ibu kemas dapur selepas makan. Lepas dapur, kemas rumah
pula.
Pergi dan balik
sekolah berjalan kaki. Sekolah taklah jauh dari rumah. Ada lah dalam 15 minit.
Ibu. Ibuku sejak
tahun lepas, kesihatannya merosot. Kata doktor, jantung ibu lemah. Dalam rumah,
hanya ada kami empat beradik. Aku, abang aku dan dua adik perempuan yang masih
kecil.
Ayah. Aku tak
tahu banyak mengenai ayah. Tiga tahun lepas, ayah menghilang. Ibu ditinggalkan
begitu saja. Digantung tidak bertali. Aku tidak mengerti. Namun, apa yang ku
amati, ibu berlinang air mata tiap malam. Namun, di siang hari ibu tabah
berdiri seolah tiada apa yang terjadi. Duka disembunyi. Mungkin itu yang
membuat ibu sakit sendiri. Kadang-kadang, aku mahu membenci ayah. Namun, ibu
menyematkan di hati kami, “Ayah seorang yang baik hati.” Aku makin tidak
mengerti. Mungkin suatu hari. Kata ibu, “masalah orang dewasa tidak mampu
difahami dengan baik oleh budak-budak.”
Kerja ibu tidak
sehebat ibu-ibu yang lain. Ibu hanya mengambil upah menjahit dan tempahan
kuih-muih tradisional. Mujurlah ada sedikit kemahiran. Itupun ikut musim.
Kadang-kadang tak ada langsung pelanggan. Ibu bukannya ada kedai. Bukannya ada
laman sosial berniaga online.
Ibu tak larat nak
jalan jauh. Dia cepat mengah. Kami ke sekolah sendiri-sendiri. Kadang-kadang,
terasa juga iri hati dengan kawan-kawan. Ibu bapa hantar dengan kereta.
Besar-besar pula tu kereta. Tapi, abang aku selalu memujuk hati ini.
Kata abang,
“Buat apa nak
naik kereta, sedangkan Allah kurnia pada kita kaki untuk berjalan dan berlari?
Syukur, rumah kita tidak sejauh mereka.”
“Kalau hujan,
macam mana?”
“Kalau hujan,
payung kan ada.”
“Kalau kasut
basah, macam mana?”
“Kalau takut
kasut basah, kita tanggalkan, letak dalam beg. Pakai selipar. Sampai sekolah,
tukar.”
Aku selalu banyak
bertanya. Tapi, abang aku tenang sentiasa. Ada saja jawapannya.
Pernah sekali aku
ke sekolah, ada kawan curi-curi bawa ipad. Sibuk bermain games dengan
kawan-kawan. Aku hanya mampu meneguk air liur. Nampak menarik. Mahu saja aku
bertanya harganya. Namun, kawan terlebih dahulu maklumkan harganya mencecah
ribu ringgit. Aku hanya melihat dari jauh. Nak minta cuba, malu. Nak minta
sentuh, takut rosak. Aku tak ada duit nak ganti balik. Kadang-kadang aku tak
faham, kenapa orang yang ada benda-benda macam ni sengaja nak menunjuk-nunjuk?
Tak sedarkah aku yang serba kekurangan, tiada harta ini terasa sampai ke lubuk
hati?
Sambil berjalan
balik dari sekolah, aku tanya abang. Abang kata,
“Kenapa adik nak
tertarik dengan benda tu? Hanya games. Bila adik main games, agak-agak adik
ingat tak benda sekeliling? Adik akan lupa waktu berjalan. Adik akan lupa
kerja-kerja rumah, bertangguh kerja sekolah, apatah lagi bersolat. Adik akan
mula mengeluh bila disuruh bantu ibu. Mula marah-marah bila diganggu. Bahkan,
di permulaan untuk beli benda tu sahaja sudah memaksa ibu memerah keringat
siang dan malam. Mungkin dua tiga bulan bersengkang mata. Hanya untuk puaskan hati
adik main games. Itu yang adik nak?”
Aku sebak.
Terkenang ibu bersusah payah untuk kami. Rasa bersalah menyelubungi.
“Baik, bang. Kita
main bola sajalah. Nanti boleh jadi hebat dan kaya macam Ronaldo. Nanti boleh
tolong ibu, kan?”
Abang aku
tersenyum. Angkat ibu jari.
**
“Abang, apa projek rahsia tu? Nak tahu!”
Abang duduk
bersila di hadapanku.
“Sabar, boleh?
Nak beritahulah ni.”
Kami duduk di
bawah pokok rambutan yang merendang di hadapan rumah. Senja petang. Angin yang
bertiup perlahan mendamaikan. Menyegarkan tubuh kami yang tadi sedikit
keletihan.
“Dekat sekolah
tadi, ustazah mengajar kelas abang satu benda ni. Menarik.”
Aku menggosok
hidung sendiri yang tak gatal.
“Menarik? Tentang
apa, bang?”
“Tentang hadiah
terbaik buat ibu dan bapa.”
Abangku tersengih
melihatku. Sekilas, dia memandang ke langit biru. Aku menanti bait-bait
katanya.
“Hadiah terbaik.
Bukan duit atau kekayaan. Bukan rumah besar atau kereta besar. Bukan result
cemerlang kalahkan semua orang. Bukan kerja best mendabik dada. Bukan pangkat
tinggi disanjung dunia. Itu semua duniawi. Hadiah yang hanya mampu memuaskan
dan menggembirakan mereka untuk waktu sementara. Ada hadiah yang lagi best tahu
tak?”
Abangku berdiri.
Mencekak pinggangnya.
“Wah, apa dia,
apa dia?!”
Abangku tersengih
menampakkan giginya yang tidak tersusun.
“Hadiah itu
adalah Al-Quran!”
Aku berkerut
kening tidak memahami.
“Maksud abang?
Kita belikan Al-Quran dan hadiahkan pada ibu ayah?”
Abangku
menggelengkan kepala.
“Salah!
Kita kuasai
Al-Quran. Kita belajar Al-Quran. Kita fahami Al-Quran. Kita amalkan hidup cara
Al-Quran!
Inilah hadiah
yang paling besar, bermakna dan bernilai kepada ibu dan bapa kita. The best
mengalahkan segala hadiah yang paling best atas muka bumi ni. Paling best di
dunia sampai ke akhirat. Sangat best sehingga membawa ibu dan ayah ke Syurga
bersama-sama!”
Aku berdiri sama.
“Maksud abang,
dengan Al-Quran, kita boleh happykan ibu kembali?”
Abang memegang
kedua-dua bahuku.
“Ya, dik. Abang
yakin. Kita kuasai ilmu Al-Quran dulu. Bila kita kuasai ilmu tu, kita fahami
dan kita buat ikut betul-betul macam dalam Al-Quran, abang yakin, Allah akan
sayang kita. Bila Allah dah sayang kita, Allah akan makbulkan doa kita. Allah
akan jaga orang-orang yang kita sayang. Abang yakin, dik. Abang yakin!”
Aku sebak.
“Lepas ni, ibu
akan sihat dan tersenyum kembali? Semuanya akan pulih sihat seperti sediakala?
Ibu takkan menangis sorang-sorang di malam hari lagi? Takkan menitiskan air
mata sewaktu membasuh beras sediakan nasi untuk kita makan lagi?”
Abang mendakap
hiba diriku. Seraya berkata penuh semangat.
“Ya, dik. Benar.
Insya-Allah. Ustazah kata suruh yakin pada Allah. Kita arjuna-arjuna ibu.
Hero-hero yang melindungi ibu. Bila kita yakin pada Allah, dunia yang
menyedihkan dan menakutkan ini tidak mampu menggoncangkan hati kita. Ustazah
kata, ‘orang yang disebutkan nama Allah lalu bergetarlah hati mereka, orang
itulah arjuna dan hero yang sebenar!’
Mari dik, kita
pergi belajar Al-Quran. Kita tak pandai sangat Al-Quran. Ibu pun tak begitu
arif ilmu Al-Quran. Sebab itu, ibu suruh kita pergi sekolah untuk belajar.
Tapi, tak pandai-pandai juga. Baca pun tergagap-gagap lagi. Kali ni, kita kena
usaha lebih sedikit. Kita cari tok guru Al-Quran. Kita belajar betul-betul.
Lepas dah pandai baca, kita hafal Al-Quran sampai habis. Sambil hafal, kita
cuba fahami maknanya. Kita cuba buat sikit-sikit apa yang kita mampu buat. Ikut
yang Allah suruh. Abang optimis, suatu hari kita akan berjaya jua akhirnya.
Ikhlaskan hati demi Allah.”
Aku berbisik
perlahan.
“Bila kita nak
mula projek belajar Al-Quran ni?”
“Minggu depan,
kita tanya ibu dulu.”
“Baiklah. Adik
setuju! Err, kita tak nak letak nama projek ni?”
Abangku berfikir
sejenak.
“Abang namakan
projek ni, projek ‘Arjuna Al-Quran!’”
Aku dan abangku
gelak sama-sama. Dalam hati, ada tekad yang kuat. Semangat yang membara.
**
“Ibu izinkan.”
Kami melompat
keriangan. Ibu siap beritahu lagi tempat untuk mengaji Al-Quran. Tak jauh.
Perumahan sebelah saja.
Malam itu, ibu
sakit kepala. Sakitnya datang lagi. Dadanya sesak. Aku dan abang membantu ibu,
berikan ubat dan berbaring di sebelah ibu. Kami jaga ibu sama-sama.
Adik-adik yang
lain telah lama tertidur di sebelah ibu jua.
Ibu
mengusap-ngusap rambutku. Sekali-sekala, membelai rambut abangku. Sakit-sakit
pun, ibu tetaplah ibu. Ibu disayangi kerana menyayangi. Biar ibu menderita
dalam hati, tapi kasih pada kami tiada berkurang walaupun seinci.
Aku mendengar ibu
bersuara perlahan.
“Ibu takkan
selalu ada.”
Abangku meraih
tangan ibu. Genggam.
“Jangan kata
begitu, bu. Kami sentiasa doakan ibu panjang umur. Cepat sihat kembali.”
Ibu tersenyum
perit.
“Walau ibu tiada.
Tuhan ada.
Selama Tuhanmu ada, takkan engkau tercela.”
Aku cuba memahami
kata-kata ibu. Terasa sebak dalam hati. Aku meraih tangan ibu sebelah lagi,
mendakap kemas tangan itu.
“Maafkan adik,
ibu. Adik banyak buat ibu terluka hati. Buat ibu marah.”
Ibu tak
menyambung kata. Segera memeluk kami adik-beradik erat-erat. Menangis
semahunya. Aku jua turut menangis. Abangku pun sama.
Sungguh, ayah
tidak mengerti. Saat ayah tegar melukai. Saat ayah biarkan kami survive
sendiri.
Saat ayah pergi,
dalamnya duka dalam hati.
**
Petang Jumaat.
Ibu membekalkan
empat biji karipap yang ibu buat sendiri kepada aku dan abang aku. Bersama air
mineral sebotol seorang. Serta sebungkus gula.
“Bila lapar dalam
perjalanan nanti, makanlah. Gula ni pula hadiahkan pada tok guru Al-Quran, ya.
Ingat pesan ibu, salam cium tangan tok guru. Dengar teliti setiap perkataannya.
Minta maaf cepat-cepat andai buat silap. Mata jangan melilau tengok ke dalam
rumah orang.”
Aku dan abangku menyalami
tangan ibu. Abang cium lama-lama tangan ibu. Minta kucup pipi ibu.
“Ibu, doakan
kami. Kami nak jadi permata Syurga buat ibu. Kami ni arjuna ibu. Mahu jadi
arjuna Al-Quran Allah.”
“Amiiin..”
Ibu senyum manis
menghantar kami di tangga rumah.
Abang memimpin
tanganku. Berjalan kaki sama-sama. Tidak segan-segan pegang tangan aku. Dia
kata, dia abang. Tanggungjawab dia, jaga aku.
Dalam 20 minit
lagi, kami akan sampai ke rumah tok guru. Terujanya. Inilah kali pertama dalam
hidup, aku rasa bersemangat untuk menimba ilmu. Mungkin datang dari niat di
hati. Rupa-rupanya, ikhlas itu sangat penting dalam memotivasikan kehidupan.
Tanpanya, malas akan menguasai diri. Buat sesuatu kerana Allah memang berbeza
kesannya.
Ya, kerana Allah.
Setiap langkah ini jua kerana Allah. Nak menggembirakan ibu pun kerana Allah.
Semuanya kerana Allah.
Kami sampai di
jalan besar. Nak menyeberang ke perumahan sebelah. Jalanraya nampak agak sibuk.
Abangku memegang erat tanganku.
“Pandang kiri
kanan, ya. Jangan lepaskan tangan abang. Baca bismillah.”
Aku bisikkan
perlahan basmallah. Membuntuti abangku melintas. Aku tak biasa lintas jalan
besar. Agak kaget sedikit.
Lorong pertama
jalan berjaya diseberangi. Sekarang, kami berada di tengah-tengah jalan. Abang
menarik aku cepat-cepat melintas. Tiba-tiba, aku perasan karipap yang berada
dalam plastik, yang tergantung pada beg sandang aku, terurai ikatannya.
Terlucut di tengah jalan. Aku melepaskan pegangan tangan abangku. Cuba
melangkah setapak ke belakang. Mencapai plastik itu balik. Penting bagi aku.
Itu kan air tangan ibu.
Telingaku
menangkap suara abangku melaungkan sesuatu.
BAMMM!!
Darah memercik ke
serata tubuhku.
Aku lihat abangku
terperosok di bawah tayar lori. Entah dari mana datangnya kenderaan itu.
Seingat aku, tadi memang tak ada. Aku sendiri merasa pedih. Pandanganku kelam.
Mengerling ke bahagian bawah badanku. Kakiku.
Kakiku tergilis sama. Remuk tiada berupa kaki lagi. Darah membuak keluar dari
mulutku. Aku cuba mencapai tangan abangku. Longlai. Sehabis daya yang ada
mencuba. Tanganku menggeletar hebat.
“Bang..bang..”
Tiada sahutan.
“Bang..bangun
bang…bangun…kita kena bangun…kita nak jadi arjuna Al-Quran…”
Suaraku
tersekat-sekat. Air mata mengalir hangat di pipi.
Wajah ibu silih
berganti terbayang di mata. Akhirnya, kabur pandangan mata.
“Ibu…maafkan
adik..”
**
Seorang ibu tua terduduk lesu di hadapan pusara dua liang lahad.
Di tangannya
sebuah Al-Quran. Milik anak sulungnya.
Dibukanya.
Tertulis ringkas di bahagian kulit dalam,
“Ibu, akan ku
bahagiakanmu dengan Al-Quran…”
Air mata jernih
gugur bertalu-talu. Hati retak seribu.
Dua hero ibu,
benar-benar arjuna hati ibu.
Arjuna ibu hatta
ke Syurga Firdausi-Mu.